Semua Agama Benar?

Baru-baru ini aku didatangi satu ide baru tentang agama, hasil daripada kupasan ide dan perbincangan panjang yang berlangsung di tepi CIMB Bangsar sambil menghirup teh dan menikmati roti naan keju di Restoran Mahbub, yang aku gelarkan Restoran Mere Mehbubu Mere Sanam.
Membaca tajuk tulisan ini, pasti ada yang mengelak daripada terus membacanya, khuatir akan terpesong aqidah barangkali. Aku ingatkan awal-awal, jika mahu mula membaca, pastikan habis dan faham. Tapi aku yakin tiada akan terbabas kerana kalau ada kekeliruan, Tanyalah Ustaz? Jangan tanya aku.
Teman aku memetik ayat Quran yang menyatakan bahawa syarat masuk syurga adalah percaya kepada Allah dan berbuat baik. Dirumuskan ketika itu bahawa mana-mana manusia yang percaya kepada Allah(Tuhan) dan berbuat baik, maka diterima masuk ke syurga, tanpa mengira beza nama agamanya, kerana yang berbeza itu namanya, sedangkan pengisiannya sama, yakni percaya kepada Tuhan dan berbuat baik. Lalu semuanya masuk syurga, tak kira walaupun Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi dan Islam.
Maka hujah balas kepada tafsiran tadi itu adalah ayat Quran yang berbunyi, Sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam. (3:19)
Ayat Quran ini ditafsirkan pula dengan menyatakan bahawa perkataan Islam yang digunapakai oleh masyarakat ketika ayat itu diturunkan, membawakan maksud tunduk menyerah kepada Tuhan, bukan sebagai satu nama khas bagi agama Islam. Jika tafsiran ini diterima, makanya segala bentuk agama adalah agama yang diredhai Allah. Jika semua agama itu diredhai Allah, maka mengapa perlu kita mengajak penganut agama lain memeluk agama Islam? Dan apa perlu penganut agama lain mengajak kita memeluk agama mereka? Bukan begitu? Inilah tafsiran agama yang aku dengari ketika itu iaitu semua penganut agama masuk syurga dan semua agama diredhai Allah.
Pemikiran ini menghantui benak pemikiran aku selama 2 hari. Aku pening dengan pemikiran begini dan kalau diikutkan rasa bingung ini, mahu saja aku tolak mentah-mentah ide itu tanpa mencari hujah balasnya.
Lalu menelusuri persoalan ini, aku kembali kepada soalan pokok kepada perbincangan tadi iaitu maksud sebenar Islam. Dalam perbincangan tadi, aku diberikan tafsiran baru tentang Islam dan agama. Jadi aku soal semula, apa maksud Islam? Islam yang aku biasa dengar bermaksud sejahtera. Tapi maksud sejahtera ini masih belum menjawab.
Hari berlalu, hari ini aku teringatkan Hadis Rasulullah S.A.W., hadis ke-2 dalam Hadis 40 himpunan Imam Nawawi yang menceritakan secara terang tentang maksud Islam. Cakap betulnya, aku tak hafal hadis, cuma ada terbaca Hadis 40 yang dihadiahkan Hanif sempena cenderahati perkahwinannya, lalu aku rujuk hadis ini yang mana diriwayatkan oleh Saidina Umar R.A,
"Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah S.A.W., satu hari ketika itu datang seorang lelaki yang mana bajunya sangat putih dan rambutnya sangat hitam dan pakaiannya tiada tanda musafir tapi tiada antara kami yang mengenalinya. Lelaki itu duduk di hadapan Nabi, lutut bertemu dengan lutut dan meletakkan tangannya di peha Nabi, dan bertanya dia kepada Rasulullah S.A.W, Ya Muhammad, akhbirni 'anil Islam. Wahai Muhammad beritahu aku pasal Islam. Maka Rasulullah jawab, Islam adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat, kamu berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji kalau kamu mampu. Lalu lelaki itu berkata, betul cakap kamu."
Maka, dirumuskan yang Islam itu adalah mengucap 2 kalimah SYAHADAH, SOLAT, bayar ZAKAT, PUASA di bulan Ramadhan dan HAJI bagi yang mampu. Bukan kah ini Rukun Islam yang aku pelajari masa kecil-kecil dulu dengan Ustaz Rafie & Ustaz Rohan, dengan menggunakan buku KAFA? Mudah kan? Inilah Rukun Islam dan aku belajar semula mengenainya dan menikmatinya pada umur 28 tahun.
Hadis ke-2 ini cukup mencerahkan persoalan yang membingungkan tadi. Aku faham apa itu Islam dan aku rasakan nikmat Quran & Sunnah. Aku mengucap syukur ke hadrat Allah S.W.T dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. atas limpah kurnia dan hidayat yang dicurahkan juga sirah Baginda S.A.W. Aku harapkan teman aku tadi, juga mendapat pemahaman yang serupa, mungkin dengan perjalanan sendiri atau di lain kali, saat kami bertemu lagi.
Balik kepada tajuk semua agama adalah benar? Ya, semua agama benar jika rukunnya, mengucapkan 2 kalimah SYAHADAH, menunaikan SOLAT, membayar ZAKAT, berPUASA di bulan Ramadhan dan melaksanakan HAJI bagi yang mampu. Nyatanya, agama yang begitu hanyalah satu.
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ
Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam (3:19)
Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam (3:19)
No comments:
Post a Comment