Thursday, 1 March 2012

surat untuk emak



Buat emak yang Bunga sayangi,
Emak sihat? Bunga doakan, emak sihat-sihat saja di samping ahli keluarga yang lainnya. Apalah yang emak sedang buat di rumah tu ya? Bunga sedang terbayang-bayang wajah emak sedang melipat pakaian di depan TV.
Seingat Bunga, ini kali keempat Bunga menulis surat untuk emak. Kali pertama dan kedua dulu dalam bentuk kad. Kali ketiga pula dalam bentuk entri di blog lama Bunga. Untuk kali ini, sengaja Bunga memilih untuk menulis surat di blog lagi. Emak Bunga ni kan canggih. Hari-hari memantau aktiviti anak-anak di blog. Habislah Bunga kalau emak tahu banyak rahsia Bunga.
Emak, maaf sangat Bunga pinta. Sudah beberapa hari Bunga tidak menelefon emak dan ayah. Emak pun tahu kenapa, kan. Lagi dua hari, Bunga akan menduduki peperiksaan yang terakhir sekali untuk pengajian Bunga di sini. Terima kasih sebab emak rajin hantar mesej pagi-pagi untuk mengejut Bunga bangun tidur tepat pukul 4 pagi waktu sini. Agaknya, mesti emak sedang menyediakan sarapan untuk adik-adik waktu itu, kan.
Emak, Bunga hendak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir untuk emak. Bunga doakan emak sihat tubuh badan dan tetap ceria melayan kerenah kami adik beradik yang bermacam-macam ragam ini. Bunga dah tak sabar hendak balik Malaysia. Bunga hendak duduk dekat dengan emak, dengan ayah. Bunga dah jenuh hidup berjauhan dengan emak dan ayah sejak zaman remaja. Bunga hendak jaga emak dan ayah pula. Bunga berdoa semoga Allah memanjangkan umur emak dan merahmati hidup emak di dunia dan akhirat.
Kalaulah emak tahu apa Bunga rasa sekarang ni, mesti emak tergelak. Bunga dah tak sabar hendak makan Mi Basah stail emak. Juga Kari Portugis emak yang istimewa itu. Nanti Bunga balik, kita makan besar ya. Kalau yang lain dah jemu pun, tak apa. Bunga boleh habiskan! Betul ni. Bunga rindukan masakan emak yang sedap-sedap belaka tu.
Emak tunggu Bunga balik ya. Selamat Hari Lahir untuk Emak. Bunga sayang emak!
Bunga Sarah

No comments:

Post a Comment